Kepada yang sudi membaca blog saya ini,
Saya ingin memaklumkan dengan sedihnya bahawa rakan saya Cikgu Abd Aziz b. Samad telah kembali ke rahmatullah pada petang semalam. Arwah telah mengadu sakit dada dan orang rumahnya telah menelefon abang iparnya dari Dengkil untuk menghantarnya ke hospital. Mengikut abang ipar arwah, dalam kereta lagi keadaan arwah cukup tenat dan apabila sampai di Hospital KPJ Kajang beliau telah pun meninggal dunia.
Saya pun dimaklumkan oleh Faridah (Hj.Ali) yang mendapat berita dari Nizam (SU Sukan). Tergamam sekejap bila mendapat berita. Aziz memang sakit sudah lama. Badannya yang berisi beransur kurus. Khabarnya sakit kencing manis tetapi dia sering mengadu sakit-sakit badan. Nak berjalan dari bengkel Auto ke kantin pun suatu torture/penyiksaan, kata arwah kepada saya dahulu.
Kali terakhir berjumpa dengan dia ialah di Dewan Sri Gemilang Sek.Men Teknik Kajang masa Pengetua dan Doktor dari Jabatan Kesihatan mengumumkan sekolah dicutikan kerana wabak H1 N1. Masa itu, walaupun kurang sihat arwah kelihatan ceria saja dan memberi isyarat kepada anaknya (tingkatan 4 kelas Automotif) untuk balik.
Tahun ini walaupun kesihatannya sering terganggu nampak Aziz lebih tekun bekerja. Fail dan dokumentasi yang berkenaan dengan tugasnya tip top dibandingkan dengan dengan tahun-tahun terdahulu. Bila diminta mewakili sekolah ataupun tugasan lain di sekolah jarang beliau menolak. Satu lagi tabiatnya yang paling ketara ialah menziarah keluarga kawan atau kenalan yang ada kematian. Masa emak saya meninggal pun, dia adalah antara orang yang paling awal sampai.
Arwah Abd Aziz b. Samad meninggalkan kita pada usia yang muda, sekitar 41 tahun. Semoga Allah SWT mencucuri rahmatnya dan memasukkan dia dalam golongan orang-orang yang salehin. Kepada isteri dan anak-anaknya diharapkan bersabar dan redha dengan ujian tuhan ini.
Kepada para pembaca marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Abd Aziz b. Samad. Amin.
semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas kawan cikgu...Alfatihah
ReplyDelete