Saturday, July 14, 2012

Bekerjasama....lahhh

Minggu hadapan di antara 16 -19Jjulai 2012, hampir 10 orang guru saya akan keluar untuk tugas rasmi di luar kolej. Satu kumpulan untuk kerja kurikulum Kolej Vokasional (KV) dan satu kumpulan lagi untuk kerja berkaitan pentaksiran  KV.
Yang menariknya, ada 6 orang guru saya yang dipanggil untuk kedua-dua mesyuarat tersebut. Perkara sebegini sudah banyak kali berlaku di kolej kami memandangkan kepakaran dalam bidang pertanian di SMT/SMV/KV terhad kepada yang bertugas di 5 institusi sahaja - Teluk Intan, Chenor, Rembau, Lahad Datu dan Langkawi. Langkawi pula sudah hendak tutup kursus pertanian mereka (....ini cerita lain)
Yang tidak berapa sedapnya ialah, jika terlalu ramai guru yang keluar pada satu satu masa maka yang menjadi mangsa adalah para pelajar. Di samping itu juga projek dan aktiviti yang dirancang  turut terbantut. Macam manalah hendak tercapai visi kami menjadi "...peneraju utama dalam aliran vokasional pertanian."
Saya ada menelefon seorang pegawai di Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan mencadangkan kepadanya supaya berhubung dengan pegawai di BPTV dan berpakat untuk menyelesaikan masalah ini. Kedua-dua entiti ini penting dalam pelaksanaan Program Kolej Vokasional, khasnya dan Transformasi Pendidikan Vokasional, amnya.. Justeru, mengapa perlu bercakaran sedangkan penyelesaian terbaik ialah melalui rundingan kerjasama.
Malangnya respons daripada pegawai berkenaan ialah ; "Tuan fikirkanlah penyelesian yang terbaik...bagaimana untuk mengagihkan guru-guru tuan ke mesyuarat tersebut."

"Ohhh begitu kerr....saya rasa penyelesaian terbaik ialah saya tidak benarkan terus guru-guru saya keluar. Saya tidak mahu proses p&p untuk pelajar saya terjejas...."  rasanya hendak menjawab begitu, tetapi tidak sampai hati memandangkan dia pun pegawai kerajaan yang makan gaji macam saya juga.  Saya hanya mampu berharap pegawai-pegawai lebih proaktif lagi dalam menyelesaikan masalah dalaman bidang pendidikan ini.

Selamat bermesyuarat ....you guys!